Monday 2 November 2009

Srikandi Syurga

BIDADARI SYURGA

DAMBAAN PARA SYUHADA’

Ainul Mardhiah’ seorang bidadari syurga yang menjadi dambaan para syuhada’. ‘Ainul Mardhiah’ bermaksud mata yang diredhai ini merupakan bidadari yang paling cantik di antara bidadari syurga yang lain.

Suatu pagi, pada bulan Ramadhan, Rasulullah telah memberi taujihad dan kata-kata semangat kepada para sahabat baginda untuk berjihad ke jalan Allah, dan barangsiapa yang berjihad dengan penuh ketakwaan dan mengharapkan keredhaan allah semata-mata akan dijanjikan nikmat dan ganjaran yang besar daripada Allah s.w.t. Para sahabat menghayati setiap bait kata-kata nabi, di antaranya : “Barangsiapa yang keluar berjihad di jalan Allah, dan tiba-tiba ia syahid, maka dia akan dianugerahkan seorang bidadari yang paling cantik di kalangan bidadari-bidadari syurga”. Setelah mendengar perkhabaran itu, seorang sahabat baginda yang usianya tersangat muda teringin untuk mengetahui bagaimana cantiknya bidadari tersebut, tetapi dia malu hendak bertanyakan kepada nabi kerana malu pada para sahabat yang lain. Hasratnya itu dipendamkan sahaja, namun dia tetap bertekad untuk menyertai pasukan perang Rasulullah dan berjihad bersama-sama baginda.

Sebelum waktu zohor, telah menjadi sunnah baginda untuk tidur sebentar sekadar merehatkan badan dan menambahkan tenaga untuk melakukan ibadah kepada Allah. Maka sahabat baginda yang muda tadi turut sama menyertai jemaah itu untuk tidur bersama-sama. Di dalam tidur tersebut dia telah bermimpi berada di suatu tempat yang cukup asing baginya. Kawasan sekelilingnya cukup indah dan cantik yang mana tidak pernah dilihatnya sebelum ini. Di situ juga dia telah bertemu dengan seorang lelaki yang berpakaian serba indah serta berseri-seri mukanya, lalu dia pun bertanya dimanakah dia berada ketika itu, maka lelaki itu menjawab bahawa inilah syurga. Lantas, dia pun menyatakan hasratnya untuk berjumpa dengan ‘Ainul Mardhiah’, dia pun ditunjukkan suatu arah oleh lelaki tersebut. Maka anak muda itu pun berjalan mengikut arah yang dinyatakan. Mata beliau terpacak pada satu pepohon yang tidak jauh dari tempat beliau berdiri, dilihatnya seorang wanita cantik yang tak pernah dilihat kecantikan sebegitu di dunia ini. Lalu dia pun memberi salam dan bertanyakan pada wanita tersebut, “Adakah ini Ainul Mardhiah?”. Wanita itu menjawab, “Eh, tidak, saya hanya khadamnya sahaja dan Ainul mardhiah ada di dalam singgahsana sana”. Lalu dia pun berjalan lagi dan memasuki satu mahligai yang cukup indah dan mendapati ada seorang lagi wanita yang kecantikannya berganda-ganda dari yang pertama tadi sedang mengelap permata-permata hiasan di dalam mahligai. Lantas dia pun memberi salam dan bertanya lagi kepada wanita tersebut. “Adakah tuan hamba ini Ainul Mardhiah?”. Jawab wanita itu, “eh tidak, saya hanya khadamnya di dalam mahligai ini, Ainul Mardhiah ada di atas mahligai sana”. Tanpa melengahkan masa, beliau mengatur langkah menaiki anak-anak tangga mahligai permata itu yang cantik, indah dan amat mengkagumkan. Tanpa disedari, dek kerana keasyikan memerhati akan keindahan batu-batu permata tersebut, beliau telah sampai di satu mahligai lagi dan telah mendapati seorang wanita yang berganda-ganda cantiknya daripada wanita yang pertama dan berganda-ganda cantik daripada yang kedua. Kecantikan yang tak pernah dilihatnya di dunia ini, telah membuatkan beliau memuji-muji kebesaran Ilahi. Lalu wanita itu pun berkata “akulah Ainul Mardhiah, aku diciptakan untuk kamu dan kamu diciptakan untuk aku”. Apabila anak muda itu mendekatinya, seraya wanita itu berkata, “Nanti! Kamu belum syahid lagi.” Tersentak itu, anak muda itu pun terjaga dari tidurnya dan dia telah menceritakan segala-galanya kepada

seorang sahabat yang lain, namun begitu dia memesan agar merahsiakan cerita ini dari pengetahuan Rasulullah. Tetapi sekiranya beliau syahid, barulah diceritakan kepada Rasulullah s.a.w.



No comments:


Related Posts with Thumbnails